Friday 20 September 2013

Ummi, Aku Tidak Mahu Derhaka Namun...

1960'an. Imran merupakan satu-satunya anak lelaki daripada tujuh orang anak dalam keluarga Syed al-Attas. Paling muda dalam keluarganya, paling dikasihi oleh ibunya, Sharifah Amina. Sharifah Amina merupakan seorang ibu yang sangat tegas, tiada kompromi dan terlalu menitikberatkan hal keluarganya terutama selepas pemergian suaminya menghadap Illahi.Walaupun garang, Sharifah Amina sentiasa memberikan yang terbaik untuk anak lelakinya itu; pelajaran, pakaian, adab yang baik dan akhirnya membesar menjadi seorang lelaki yang sempurna sifatnya.

Kini Imran sudah berusia 25 tahun, mempunyai kerjaya yang bagus dan ekonomi yang kukuh, maka dengan itu sudah tiba masanya dia untuk mencari pasangan sehidup semati, pasangan suka dan duka, seorang isteri. Imran sudah bersedia untuk menamatkan zaman bujangnya, dia matang orangnya dan digilai ramai wanita. Jadi, ibunya, Sharifah Amina menyangka dia sudah ada calon yang bagus untuk dijadikan seorang isteri.

"Ummi, Imran ada kenal dengan seorang kawan perempuan ni."

"Bagus! Siapa namanya, Imran?"

"Namanya Aishah, ummi.."

"Aishah? Aishah Binti?"      

"Aishah Binti Sharif, ummi."

"Hmm.Okey. Kawan je kan? Ummi rasa macam itulah, harap tak ada pendam perasaan kat dia."

Ibunya terus mendiamkan diri selepas itu, mungkin ibunya tidak mengenali wanita itu maka ibunya tidak berminat untuk mengetahui sesuatu yang lebih tentangnya.

Selepas itu, Imran acap kali berbicara tentang wanita bernama Aishah itu sahaja di hadapan ibunya.

"Ummi, tengok baju ini! Cantik kan? Ini lah baju kurung hasil jahitan Aishah. Dia pandai menjahit orangnya."

"Ummi, Hajah Zahara terjumpa saya dengan Aishah, dia siap puji lagi kelakuan Aishah yang sopan itu."

"Ummi, Aishah sekarang kerja part-time jadi babysitter. Pandai kan dia jaga anak?"

"Ummi, ni kari ikan hasil air tangan Aishah, sedap kan ummi?"


Setiap hari tanpa henti Imran menyebut nama Aishah di depan ibunya dan memuji kelebihan Aishah supaya ibunya tertarik untuk mengetahui siapakan Aishah di mata Imran. Dan ibunya masih lagi tidak ambil peduli tentang Aishah itu. Membalas kata-kata Imran pun tidak. Sehinggalah suatu ketika ibunya menyebut nama Aishah...

"Imran, apa yang bagus sangat pasal si Aishah tu?"

"Ummi tahu tak. Aishah tu baik orangnya, dahlah cantik, bersopan santun, pandai masak pulak tu!"

"Macam mana dengan Sharifah Hazurah? Anak perempuan keluarga Syed al-Farisi? Dia pun okay orangnya."

"Tapi ummi, Imran tak suka kat Hazurah, dia dah macam adik pada mata Imran, tak mungkinlah Imran dengan Hazurah tu."

"Tapi kan cinta itu kan boleh dibina, keturunan dan darjat tidak."

Imran terkilan dengan jawapan ibunya itu. Dia cuba untuk memahaminya dengan lebih mendalam. Padanya, Aishahlah segalanya. Imran terus bekerja dan bekerja demi menyimpan wang untuk majlis pernikahannya nanti. Hingga selepas enam bulan seterusnya...

Hari itu sayyidul ayyam. Penghulu segala hari. Hari Jumaat yang mulia. Ketika itu solat Jumaat masih belum dilaksanakan lagi. Imran pada masa itu berpakaian agak luar biasa, bersongkok 4 inci setengah, berbaju melayu, bersamping, segak orangnya.

"Ummi?"

"Ya, anakku?"

"Hari ini Imran nak ummi temankan Imran lepas solat Jumaat. Ada urusan yang perlu kita selesaikan."

"Patutlah hari ini Imran pakai lawa-lawa ye? Nak kemana tu Imran?"

"Bertemu Aishah, kita akan merisik dia."

Lantas ibunya bangun dari kerusinya.

"APA IMRAN CAKAP? MERISIK?"

"Ya, merisik, ummi. Imran nak Aishah jadi isteri Imran yang halal."

"Kau ni dah hilang akal ke apa? Kau tak boleh kahwin dengan dia. Bukan dengan Aishah!"

"Tapi kenapa ummi? Aishah baik orangnya, cantik, pandai masak, sopan santun..."

"Tapi dia bukan berketurunan Sharifah!"

"Ya, itu Imran tahu! Tapi itu kan cuma sebuah gelaran sahaja. Tak semua orang ada gelaran itu."

"Itulah sebabnya, bukan SEMUA orang boleh kahwin dengan keturunan kita ni!."

"Ummi, itu cuma gelaran sahaja."

"Tidak, gelaran itu bukan sekadar gelaran sahaja. Ia adalah darjat, reputasi keturunan kita! Suatu perbezaan, sebuah hak! Pewaris keturunan Syed al-Attas mesti mengikuti hiraerki keluarga yang betul, kahwin dengan keturunan yang sama darjatnya! Bukannya kahwin dengan orang entah dari ceruk mana datangnya.."

"Ummi, dalam Islam tidak ada sebarang perbezaan dari segi bangsa mahupun warna kulit. Yang berbeza cuma keimanan dan ketakwaan kepada Allah!"

"Tetapi dalam Islam juga ada segi-segi dalam memilih seorang isteri. AGAMA, KECANTIKAN, KEMEWAHAN dan tentu sekali KETURUNAN. Keturunan kita ini adalah keturunan yang terpilih!"

"Ummi? Tak boleh ke kita pecahkan tradisi ini? Ia sangat menyerabutkan!"

"Tak boleh! Syed dengan Sharifah! Sharifah dengan Syed! Permulaannya seperti itu dan pengakhirannya juga seperti itu. Tidak boleh ditukar ganti dengan yang lain."

"Imran cintakan Aishah, dan Imran akan kahwini dia!"

"SYED IMRAN AL-ATTAS!"

"Kalau kau kahwini perempuan itu, kau anak derhaka!"

Imran yang ketika itu sedang menuju ke pintu rumah tersentak mendengar kata-kata ibunya itu lalu memberhentikan langkahnya. Dia terdiam. Kaku seperti tunggul kayu. Ruang tamu yang gegak gempita itu secara tiba-tiba menjadi sunyi. Imran menoleh kembali melihat wajah ibunya. Dan memulangkan kembali langkahnya ke ibunya itu.

"Ummi, Imran tak mahu jadi anak derhaka, Imran takut balasan Allah kepada Imran kalau derhaka."

Ibunya terus tersenyum.

"Tetapi Imran tak akan kahwin dengan mana-mana wanita pun selepas ini, untuk selama-lamanya.."

Imran mengambil songkoknya di atas meja lalu dipakainya ke kepala dan terus pergi ke masjid meninggalkan ibunya yang terdiam mendengar kenyataan terakhir anaknya itu.




                                           

No comments:

Post a Comment